RENCANA & PENDAPAT MENGENAI MAKANAN UBAHSUAI GENETIK

 

Oleh Meor Hisham Zulkifli

KETIKA sesetengah negara bergelut termasuk Malaysia untuk menghasilkan tanaman yang mampu memberikan hasil tuaian berlipat ganda, pakar Barat sudah jauh ke depan dengan menguasai teknologi pengubahsuaian genetik.

Pakar Barat kini berusaha menghasilkan tanaman yang sudah menjalani pengubahsuaian genetik (GM) bagi menghasilkan pelbagai ubat dan dadah. Penyelidik dan syarikat bioteknologi mula melakukan kejuruteraan tanaman untuk menghasilkan pelbagai bahan farmasutikal seperti vaksin yang boleh dimakan, terapi protein serta antibodi yang dihasilkan kilang.

Untuk memahami kesan teknologi ini, bayangkan pokok pisang emas yang menghasilkan antibiotik atau ubat pening kepala daripada epal. Lebih ekstrim lagi, viagra daripada epal atau pil perancang yang tumbuh dalam ciku.

Ketika pembangun teknologi berharap tumbuhan GM menghasilkan cara lebih cepat dan murah bagi mengeluarkan ubat, aktivis kepenggunaan berjuang membantah sistem penggubal undang-undang yang dilihat gagal menguatkuasakan peraturan terhadap bahan farmasutikal berasaskan tumbuhan.

Aktivis terbabit berusaha memastikan usaha mengubah genetik tumbuhan yang menyaksikan sejenis tumbuhan atau buah-buahan baru dihasilkan, tidak memudaratkan manusia atau mengubah sepenuhnya sistem ekologi.

Ahli sains menggunakan bioteknologi untuk mengubah tumbuhan tertentu bagi menghasilkan protein seperti antibodi monoklonal, iaitu komponen protein dalam sistem kekebalan badan yang dihasilkan bagi menjayakan sasaran tertentu. Antibodi ini dibangunkan untuk rawatan barah, sakit jantung dan penyakit kronik.

Pada asasnya, usaha meningkatkan pengeluaran bahan perubatan menerusi GM membantu mengatasi sebahagian daripada masalah pengeluaran yang menghantui pengeluar ubat masa kini.

Pengeluar ubat mendapati amat sukar membina keupayaan pengeluaran yang mencukupi bagi memenuhi tuntutan yang semakin meningkat.

“Pengeluaran ubat amat kurang dan masalah ini bertambah buruk lima tahun lagi,” kata Richard McCloskey dari syarikat Centocor, firma biofarmasutikal yang beribu pejabat di Malvern, Amerika Syarikat dalam sebuah penerbitan baru-baru ini.

Usaha untuk menghasilkan sistem membiakkan protein pada tumbuhan lebih murah berbanding membina dan menyediakan kilang biologi yang perlu dinyah kuman seperti yang digunakan kini.

Oleh kerana kawasan ladang boleh ditambah dengan mudah dan cepat, konsep menanam tumbuhan GM untuk menghasilkan ubat menawarkan cara paling berkesan bagi memenuhi tuntutan pasaran.

Pakar Barat menggunakan istilah perladangan tumbuhan GM untuk menghasilkan ubat sebagai `pharming’ (perladangan ubat iaitu gabungan perkataan `farming’ dan `pharmacy’ iaitu berladang dan ubat).

Dalam rencana yang disiarkan Pew Initative on Food and Biotechnology, yang memetik kenyataan pakar, Anthony Laos menyatakan antara faedah lain teknologi ini, ia tidak memberi risiko besar pemindahan penyakit berjangkit daripada haiwan kepada manusia tidak seperti produk yang dihasilkan daripada pemprosesan darah atau ditanam dalam kultur sel haiwan.

Laos adalah pakar pharming di College Station, firma ProdiGene yang berpangkalan di Texas.

Berikutan potensi besar dalam teknologi ini, sejumlah syarikat biogteknologi meneroka pelbagai sistem tumbuhan termasuk soya, jagung, tembakau dan padi. ProdiGene meneroka kaedah pharming untuk beberapa pelalian dan insulin untuk manusia daripada jagung.

Carole Cramer dari syarikat CropTech di Blacksburg di Virginia pula berusaha untuk menghasilkan tembakau GM yang boleh merawat penyakit yang berkaitan zarah dalam sitoplasma sel yang bertanggungjawab dalam penyuraian bahan dalam sel.

Pharming juga mungkin membolehkan kajian dijalankan untuk menghasilkan ubat tertentu yang sebelum ini tidak boleh dikeluarkan. Syarikat CropTech misalnya meneroka protein yang kelihatan amat berkesan untuk melawan barah.

Masalahnya kata Cramer, protein ini amat sukar untuk dihasilkan menerusi sistem kultur sel haiwan kerana protein ini menghalang sel daripada tumbuh.

“Masalah ini terlerai jika kaedah pharming digunakan,” katanya.

Bagaimanapun, penggunaan tanaman terutama untuk makanan asasi dalam pengeluaran ubat meningkatkan kebimbangan tumbuhan GM ini boleh mengakibatkan ia bercampur dengan bahan makanan biasa, kata Norman Ellastrand dari Universiti Ellstrand.

Debunga tanaman GM mungkin diterbangkan secara tidak sengaja ke ladang tanaman biasa. Ia mengakibatkan sama ada protein untuk ubat bercampur dengan tanaman makanan atau menyebabkan kewujudan tanaman baru yang tidak diketahui baik buruknya.

Ellstrand berkata, bahaya ini boleh dikurangkan dengan memastikan tanaman GM jauh dari kawasan ladang tanaman lain. Bagaimanapun, tanaman jagung GM lebih bahaya kerana ia mudah merebak dan menyerang jagung biasa.

Bagaimanapun, aliran genetik bukanlah jalan tunggal tanaman GM boleh memasuki bekalan makanan. Ia mungkin tercampur secara tidak sengaja ketika proses pemindahan, penuaian atau ketika pemprosesan. Peristiwa StarLink dua tahun lalu boleh dijadikan pengajaran. StarLink mendapat kelulusan menanam jagung GM untuk tujuan makanan haiwan.

Bagaimanapun, jagung GM itu secara tidak sengaja bercampur dengan jagung biasa menyebabkan banyak produk makanan di pasaran terpaksa ditarik balik.

“Teknologi ini mempunyai faedah besar untuk memperbaiki tahap kesihatan manusia tetapi jika ada kesilapan, ia bakal mengundang padah.

“Kita bimbang pada masa depan, orang ramai mempersoalkan tahap keselamatan makanan dan mengambil sikap memulaukan produk makanan di pasar raya,” kata Pegawai Persatuan Pemproses Makanan Amerika, Jeffery Barach.

Beliau mencadangkan syarikat bioteknologi ini menghasilkan produk menerusi bahagian tumbuhan yang tidak boleh dimakan, sebagai langkah paling selamat.

Tumbuhan GM juga dibimbangi menyebabkan perubahan sistem ekologi termasuk serangga yang memakan tumbuhan itu atau sisa tanaman selepas penuaian.

Syarikat di Kanada baru-baru ini menyatakan, tanaman soya GM menyebabkan terhasilnya lalang baru yang tidak boleh dikawal.

Kini ujian terhadap tanaman ini dikawal menerusi permit yang dikeluarkan Jabatan Pertanian Amerika yang mensyaratkan firma mengemukakan rekod terperinci mengenai kegiatan mereka termasuk aspek pelupusan sisa dan mengekalkan tahap pengeluaran.

Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika turut memantau proses mengeluarkan ubat daripada kaedah ini. Apa yang pasti, Amerika kini mengiktiraf dan membenarkan tanaman GM. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan Amerika memastikan semua aspek dikawal selain penguatkuasaan serta kawalan menyeluruh dilakukan. Mereka juga menuntut maklumat mengenai tanaman ini didedahkan sepenuhnya supaya ia tidak mengundang bahaya pada masa depan.

kerana tanaman yang diubah genetik ini adalah ciptaan terbaru yang belum dapat dipastikan keselamatan dan kesan sampingannya sama ada kepada manusia, haiwan atau tumbuhan.

 


bajucrony@gmail.com
copyright © 2006