TERUSKAN KAJIAN MAKANAN GENETIK

 

Utusan Malaysia, 2 Okt 2002

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kajian mengenai makanan yang diubahsuai secara genetik (GM) harus diteruskan bagi menghilangkan kebimbangan mengenainya.

Perdana Menteri berkata, ketakutan terhadap kesan sampingan makanan GM tidak sepatutnya menghalang penggunaannya kerana ia amat diperlukan oleh negara-negara miskin yang kekurangan makanan.

``Pengeluar makanan GM harus mengujinya dengan cara yang biasa digunakan untuk menguji ubatan bagi mengetahui kesan jangka pendek dan panjang.

``Makanan GM ini mungkin dapat menambah pengeluaran makanan dan kita tidak boleh ketepikan sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan,'' kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Bioteknologi 2002 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Dr. Mahathir berkata, akibat kebimbangan mengenai kesan sampingan, terdapat sebuah negara di benua Afrika yang terpaksa menyimpan sahaja makanan GM yang dimilikinya sedangkan rakyatnya kebuluran.

``Makanan GM ini sebenarnya boleh menyelesaikan banyak masalah kebuluran. Banyak orang di dunia ini yang masih tidak mempunyai makanan yang cukup,'' tegas beliau.

Terdahulu dalam ucaptamanya Perdana Menteri berkata, lebih banyak dana perlu dilaburkan bagi mengenal pasti kesan buruk makanan GM secepat mungkin yang menjadi ketakutan banyak pihak.

``Adalah malang sekiranya berjuta-juta orang perlu mati kelaparan hanya kerana mereka yang kaya membuat keputusan untuk menolak makanan GM untuk makanan biasa yang lebih mahal,'' ujarnya.

Mengenai perkembangan projek Lembah Bio, Perdana Menteri menyatakan pelbagai pihak yang dirancang ditempatkan di situ telah memulakan penyelidikan secara berasingan memandangkan belum ada bangunan atau kelengkapan dibangunkan.

``Kita akan bina tiga buah institut penyelidikan di situ yang akan melibatkan penyelidikan bioteknologi, farmaseutikal dan pertanian,'' katanya.

Menurut Dr. Mahathir, Malaysia mempunyai Agenda Bioteknologinya sendiri dan projek Lembah Bio akan menjadi pemangkin serta tapak ujian bagi industri tempatan.

``Aspirasi kami ialah untuk menjadikan Malaysia antara pusat bioteknologi utama di dunia dan pada masa yang sama menikmati faedah daripada sumber bio kami yang amat pelbagai,'' ujar beliau.

 


bajucrony@gmail.com
copyright 2006